Buddha: Dinasti Han

Ketibaan Ajaran Buddha

Generasi-generasi sarjana telah menghujahkan sama ada para ajar-ajar agama Buddha pertama kalinya tiba di empayar dinasti Han dalam benua China melalui jalan darat menerusi Laluan Sutera atau jalan laut. Hipotesis ketibaan ajar-ajar Buddha melalui jalan laut lebih disukai oleh sarjana seperti Liang Qichao dan Paul Pelliot. Mereka mencadangkan teori bahawa ajaran Buddha asalnya diamalkan di selatan China, rantau Sungai Yangtze dan Sungai Huai, iaitu rantau putera Ying dari negara Chu (kini Jiangsu) memuja Maharaja Kuning, Laozi dan juga baginda Gautama Buddha pada tahun 65 M.

Hipotesis jalan darat pula dicadangkan oleh Tang Yongtong yang memberi kenyataan bahawa ajaran Buddha tersebar ke timur menerusi bangsa Yuezhi. Menurut beliau, ajaran Buddha asalnya diamalkan di barat China, di ibukota dinasti Han sendiri di Luoyang (kini Henan). Di situ, baginda maharaja Ming dari dinasti ini mengasaskan Kuil Kuda Putih dalam tahun 68 M. 

Rong Xinjiang, seorang sejarawan di Peking University, memeriksa semula hipotesis-hipotesis jalan darat dan jalan laut menerusi pandangan pelbagai disiplin ilmu serta kajian ilmiah baru, termasuklah teks-teks ajaran Buddha Gandhara, lalu mendapati bahawa:
Pandangan bahasa ajaran Buddha tersebar ke benua China menerusi jalan laut secara bandingannya nampak kurang meyakinkan dan kurang pula bahan-bahan yang menyokongnya. Hujah-hujah yang diberikan pun tidak cukup kukuh. Berdasarkan kepada teks-teks sejarah yang ada dan juga bahan-bahan ikonografi yang didapati dari arkeologi sejak 1980an, khususnya manuskrip-manuskrip Buddha abad pertama yang baru-baru ini ditemui di Afghanistan, pengulas mempercayai bahawa teori yang paling masuk akal sekali mengenai ketibaan ajaran Buddha ke benua China adalah menerusi kerajaan orang Yuezhi (Tocharia) di barat laut India dan melalui jalan darat pula untuk sampai ke kerajaan dinasti Han. Selepas tiba di China, ajaran Buddha bertembung pula dengan Taoisme awal dan kesenian esoterik China. Ikonografi Buddha turut disembah secara membuta tuli oleh rakyat dalam benua China.
Rekod-Rekod Tradisional 

Sejumlah rekod terkenal dalam sastera sejarah China telah membawa populariti pula kepada sesetengah lagenda berkenaan dengan ketibaan ajaran Buddha di benua China. Menurut kepada rekod yang terkenal sekali, maharaja Ming (28-75 M) menjadi penaung kepada ajaran Buddha di China. Mouzi Lihuolun (awal abad ke-3 sehingga ke-5 M) pertama kalinya merekodkan lagenda ini:
Pada zaman dahulu, maharaja Ming bermimpi melihat dewa yang tubuhnya bersinar-sinar cemerlang bak mentari terbang masuk ke istana baginda. Baginda pun berasa senang hati sekali. Keesokan harinya, baginda pun bertanya kepada pegawai dan menteri, "Dewa apakah ini?" Dijawab seorang cendekiawan istana, "Rakyat sekelian mendengar bahawa kononnya di sebelah India sana, ada seseorang yang sudah mencapai Tao dan digelar pula sebagai Buddha. Tubuhnya terbang melayang di awangan, tubuhnya bersinar bagaikan mentari, maka dia mestilah seorang dewa."
Maharaja lantas menghantar rombongan kedutaan ke Tianzhu (India Selatan) mohon bertanya mengenai ajaran Buddha yang tersebut. Kitab-kitab suci Buddha dibawa pulang kemudiannya ke benua China sana atas belakang kuda-kuda putih. Maka selepas itu, dibangunkan kuil untuk merumahkan kitab-kitab tersebut dan dinamakan sebagai Kuil Kuda Putih. Dua orang ajar-ajar India pulang bersama mereka ke benua China, iaitu Bhiksu Kaśyapa Mātaṅga dan Bhiksu Dharmaratna.  

Ukiran-ukiran China abad ke-8 M di Gua Kuil Mogao dekat dengan Dunhuang di wilayah Gansu memaparkan maharaja Wu dari dinasti Han (141-87 SM) menyembah berhala seorang lelaki yang keemasan. Lelaki keemasan tersebut dibawa kembali pada 121 SM oleh salah seorang panglima terkenal dinasti Han dalam peperangannya memerangi orang nomad. Walau bagaimanapun, kitab-kitab sejarah seperti Shiji atau Kitab Dinasti Han dari maharaja Wu langsung tidak menyebutkan mengenai berhala Buddha keemasan tersebut.

Terjemahan Kitab Awal

Terjemahan awal kitab ajaran Buddha yang didokumentasikan dari pelbagai bahasa India ke dalam bahasa China berlaku sekitar 148 M dengan ketibaan seorang putera raja berbangsa Parsi yang menjadi seorang ajar-ajar Buddha, dikenali sebagai An Shigao. Baginda bertindak mencari dana untuk membuka kuil-kuil Buddha di Luoyang dan menganjurkan projek penterjemahan kitab suci Buddha ke bahasa Cina, yang menjadi saksi bahawa gelombang awal penyebaran ajaran Buddha tiba di China menerusi Asia Tengah. Ia berlaku sehingga beberapa abad seterusnya. Putera raja ini menterjemah kitab-kitab ajaran asas Buddha, semadhi dan kitab abhidharma. Seorang lagi upasaka berbangsa Parsi bernama An Xuan, membantu putera raja tersebut. Mereka menterjemah kitab-kitab ajaran awal bagi aliran Buddha Mahayana untuk mencapai jalan Bodhisattva.

Aliran Buddha Mahayana awalnya disebarkan di China oleh seorang bhiksu Buddha bangsa Kushan (cawangan bangsa Yuezhi), bernama Lokakshema (164-186 M). Beliau datang dari negara Gandhara. Bhiksu Lokakshema menterjemah sutra-sutra penting aliran Mahayana seperti Ashtasahasrika Prajnaparamita Sutra, selain teks-teks awal Mahayana berkenaan dengan samadhi, dan bertapa merenung Buddha Aksobhya.

Terjemahan-terjemahan ini berterusan memberi bantuan kepada perkembangan awal ajaran Buddha Mahayana di empayar Han. Badan-badan teks tersebut termasuklah kepada penekanan amalan zuhud dan bertapa dalam hutan, berada dalam keadaan menyerap dengan alam semesta atau tumpuan semadhi:
Paul Harrison menjalankan kajian atas beberapa teks boleh dihujahkan sebagai antara versi-versi awal bagi sutra Mahayana, yang diterjemah ke dalam bahasa Cina pada separuh abad ke-2 M oleh penterjemah bangsa Indo-Saka, Lokakshema. Harrison menunjukkan bahawa badan-badan terjemahan kitab oleh Lokakshema banyaknya bertumpu kepada amalan-amalan kezuhudan yang tinggi seperti tinggal dalam hutan dan samadhi. Kemungkinan hal ini dilihat sebagai berkesan untuk menerima ilham baru atau inspirasi yang segar.
Aliran-Aliran Buddha Awal

Semasa zaman awal ketibaan ajaran Buddha di China, sudah wujud aliran-aliran ajaran Buddha awal di India yang mengkaji kitab-kitab tertentu seperti:
  • Dharmaguptaka
  • Mahīśāsaka
  • Kāśyapīya
  • Sarvāstivādin
  • Mahāsāṃghika
Aliran Dharmaguptaka lebih banyak menjalankan usaha dalam penyebaran ajaran Buddha di luar benua India. Mereka menyebar sehingga ke Afghanistan, Asia Tengah dan ke benua China. Penyebaran mereka ini sangat berjaya. Disebabkan oleh usaha mereka ini, ajaran Buddha dianuti oleh kebanyakan negara di benua China dan aliran mereka dianuti berserta dengan tradisi-tradisi vinaya mereka untuk perlantikan bhiksu dan bhiksuni. 

Menurut A.K. Warder, dalam sesetengah keadaan di negara-negara Asia Timur, aliran Dharmaguptaka ini boleh dianggap sebagai terselamat dan wujud sehingga kini. Warder seterusnya menulis bahawa aliran ini boleh diberi penghargaan kerana usaha mereka dalam menegakkan ajaran Buddha dalam tradisi orang China semasa abad awal:
Penganut aliran Dharmaguptaka yang merupakan pengikut ajaran Buddha yang menyebarkan ajaran di Asia Tengah. Mereka nampaknya menyebarkan ajaran secara berputar di sepanjang laluan perdagangan dari Aparānta sebelah barat laut ke Iran dan pada yang sama ke Oḍḍiyāna (lembah Suvastu, utara Gandhara, yang menjadi pusat utama mereka). Selepas berjaya sehingga ke Persia, mereka mengikut laluan sutera ke paksi timur-barat, ke timur menyeberangi Asia Tengah masuk ke China. Di situ mereka menyebarkan ajaran Buddha dengan tekun dalam abad ke-2 dan ke-3 M. [...] Untuk zaman awal ajaran Buddha di benua China, aliran inilah yang menjadi aliran utama dan berpengaruh sekali, dan sehingga kemudian, vinaya yang diamalkan mereka masih menjadi asas kepada disiplin penganut Buddha Asia Timur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan